INSAN AKADEMIS BERTAQWA...satu cita cita .Lama sudah hasrat ini bermain dalam fikiran dan dibualkan sesama kawan kawan. Cerita cerita lama ini seronok untuk disingkap dan dikenang, mungkin juga berfaedah untuk menjadi bahan yang berguna untuk generasi sekarang melihat pengalaman lama ini sebagai panduan ataupun mungkin juga sebagai cara bermuhasabah, melihat dimana yang silap atau sejauhmana pencapaiannya.
Di awal 80an anak Melayu seperti saya tidak terasa diabaikan untuk mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran, ramai dikalangan kawan kawan yang rajin baca buku dapat melanjutkan pelajaran keluar negeri dan tidak kurang juga yang berpeluang untuk sambung belajar di institusi tempatan khususnya ITM atau mana mana maktab perguruan. Tapi bagi anak Melayu yang 50/50 dalam pencapaian pelajaran, ada dilemanya, pasaran pekerjaan sangat menarik, kursus kursus teknikal pun ada di mana mana ILP, IKBN antara nya. Tapi kalau dapat keputusan baik dalam peperiksaan tingkatan 6, peluang untuk masuk universiti terbuka luas, minimum 2 prinsipal satu subsidiari. Ramai yang mengambil peluang ini, maklumlah dengan gred 3 sekolah kerajaan tak layak. Gred Satu pergi oversea, gred 2 jadi cikgu atau sambung tingkatan 6 di sekolah kerajaan. 3rd grader kena cari sekolah swasta. Berduyun duyun lah anak Melayu yang umumnya tak mampu nak sambung belajar dikolej swasta, mendaftar di sekolah sekolah swasta untuk persiapan peperiksaan STP/HSC.
1982 bermula STPM, generasi yang merasa macam macam corak perubahan pembelajaran, dari era Razak hussien, rahman talib, khir johari, generasi inilah yang mula. MCE tukar, semua kena ambil SPM, di tiadakan remove class. Dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia, dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu. Dari General Maths kepada Modern Math, dari seluar putih kepada seluar hijau. Dan lagi dari darjah satu sampai tingkatan 3 kena berseluar pendek. Jumaat pakai baju Melayu. Bila cerita dengan anak anak, gelak besar dema. Tak ramai cikgu yang fasih berbahasa Melayu. Ramai cikgu Melayu macam orang putih, di Kuala Lumpor la. Di Desa desa mungkin berbeza.
Antara sekolah swasta yang tersohor di Kuala Lumpur ketika itu ia lah Yayasan Anda Akademik, yang berkembang dari lokasi asal di sekolah agama di Kampong Baru berpindah ke Bangunan UDA Jalan Pantai Baru, bangunan 4 tingkat. Di ketika ini YAA Pantai Baru tingkatan 6 saja, tingkatan 5 di kampong baru. Excluding nite school ye. Nanti kemudian cerita.Ground floor orang lain, Restoran Amjal dan klinik....lupa !. Tingkat satu ada dua kelas, pejabat ABIM (pusat) dan tandas ditepi tangga, on the way up. Tangga kiri untuk siswi dan siswa tangga luar sebelah kanan. (Pendedahan pertama). Di tingkat 2 ada tiga kelas , ruang pejabat dan tandas siswi. Ditingkat 3 ada dua kelas ,surau dan perpustakaan. Ketika tahun sesi1981/82 ini ada terdapat lebih kurang 700 orang pelajar yang dipanggil siswa dan siswi. (Pendedeahan 2). 7 kelas lower 6 dan masuk 1982, tujuh upper 6 yang tiap satu kelas seramai purata 40 orang. Dua kelas unisex selebihnya diasingkan siswa dan siswi.
Latar belakang setiap pelajar berbeza beza dari anak petani kampong hingga kepada anak orang bandar dari setinggan hingga ke anak orang berada,semuanya membayar RM 35 sebulan untuk mengikuti 5 matapelajaran untuk STPM dan dua pelajaran tambahan sebagai added value kepada sekolah ini. Sekolah di buka untuk sesi pagi dan petang dan pihak sekolah menyediakan asrama untuk pelajar dari luar kota di Flat kampong Kerinchi, tingkat 15 siswa, tkt 16 siswi, dua unit untuk cikgu dan rumah tetamu. Pada sesi ini Pengarah/Guru Besar ialah Cikgu Anwar Ibrahim, Timbalannya Ckgu Kamarudin Md Nor, Pendaftar, Ckgu Amini Ibrahim, Penasihat Persatuan Siswa/i YAA ckgu Fuad Hassan. Di pejabat tu ada Zulkifli Ayob dan Mat Jamaluddin di akaun, Osman Ismail, Abas Khatib, 1982 Shakar Shamsudin staff pentadbiran. YAA juga menerbit buku pendidikan bulanan iaitu Diskusi dan kemudiannya Akademik di ketuai oleh Fuad Hassan, editor Syukran Jamil zaini kemudiannya Ahmad Nasaae Tarmizi dan Raden Mokhtar Md Yusof. Dan ada satu bilik untuk taip setting.
Semasa itu, subjek Kertas Am, cikgunya Eddy Warman, Fuad Zarkashi, kekadang Anwar Ibrahim. Bahasa Melayu/sastera Fuad Hassan, Sheikh Nong, Fatimah Jabar, Amini. Geografi Sahlan Ismail, Thani, Ekonomi Norisham, Abdul Latif, Mustafa Kassim. Ada beberapa orang cikgu cikgu perempuan dikalangan mahasiswa universiti Malaya dan pensyarahnya turut mengajar di YAA. English Usage di ajar oleh Hussien Mastan dan pengajian Prinsip Islam di ajar oleh dua Ustaz dari Kedutaan arab Saudi, Ustaz Ubaidullah Abu dan Ustaz Abdullah Yasin.
Setiap pagi hari sekolah, pintu besi YAA akan dibuka oleh Abg Osman', atau Mat Jani atau aku. Menderu pelajarnya mengisi ruang kelas dan bersedia untuk meneguk ilmu. Cikgu Anwar paling awal sampai sekolah, pertama dia periksa tandas dulu, kalau kotor Presiden PSYAA kena 'sound', panggil kelas yang bertugas untuk cuci tandas, kalau mereka ngelat Presiden dengan anak buahnyalah kena cuci. Kemudian Ckgu Anwar akan memeriksa setiap kelas dan mana mana kelas cikgu tak sampai lagi dia masuk.. dan terungkailah isu isu yang diluar kotak pemikiran pelajar, dari isu isu tempatan hingga isu antarabangsa dan sejagat, sambil dia memeriksa keterammpilan pelajarnya.
Guru guru yang mengajar kebanyakkan mempunyai fikrah dan pendekatan yang sama, analisa dan huraiannya mengambil kira aspek kebangkitan umat Islam, yang nampak sebati adunannya. Kaedah pengajaran menampakan keintiman antara murid dan pengajar.